Bab 1

Cahaya lampu di ibu kota tampak sedikit suram jika ia terlihat dari balik tingkap kereta sedan yang sedang mereka naiki saat ini. Titisan air hujan nampaknya enggan meninggalkan kaca tingkap itu. Hujan mulai reda namun rintiknya masih lagi jatuh titis demi titis menghempap lantai bumi.

        “Hati-hati, mata kau boleh tertonjol keluar nanti kalau kau asyik melopong kat tepi tingkap macam tu.” Ejek Dara yang duduk di tempat bahagian penumpang hadapan, bersebelahan dengan pemandu teksi itu. Gadis itu tertawa kecil.

        ”Dira tak tahu pulak yang kat bandar ni memang banyak lampu-lampu macam ni. Dira ingatkan sikit je.” Sahut saudara kembar Dara yang bernama Dira. Sejenak, dia menatap Dara yang berada di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan sebelum kembali menghalakan pandangannya ke arah lampu-lampu yang berada di persisiran jalan termasuk persimpangan.

         ”Cantiknya.” Sambung Dira lagi, nampak nadanya yang begitu kekampungan.

Dara hanya ketawa kecil di bahagian tempat duduknya. Dia tahu benar akan sikap adik kembarnya itu, Dira. Maklumlah, ini merupakan kali pertama buat Dira menjejakkan kakinya ke bandar besar. Sebelum ini, kakinya itu hanya melangkah ke sawah padi. Apa yang dia tahu hanyalah rumput, tanah liat, lumpur dan tanah kebun dan lampu-lampu yang sedang dilihat oleh Dira saat ini tidak akan pernah dia ketemui jika berada di kampung. Yang ada, mereka hanya menggunakan lampu kalimantan, lampu minyak tanah atau lampu suluh jika mahu keluar rumah. Syukurlah saat ini di kampung mereka sudah ada kemudahan lampu jalan. Jika tidak, dia yakin Dira pasti akan lebih jakun daripada ini.

       ”Ini sikit je Dira. Tunggu kejap lagi, akak akan tunjukkan pada Dira sesuatu yang lebih indah dari semua ni. Di apartment akak.” Ujar Dara dengan penuh rasa bangga sehingga mengundang rasa debar di hati Dira. Tidak sabar rasanya untuk dia menikmati keindahan itu.

         ”Betul ke akak?.” Tanya gadis itu dengan bola matanya yang berpinar memandang ke arah Dara. Ia bahkan sudah mencondongkan sedikit badannya ke depan demi mendapatkan kepastian dari saudara kembarnya itu.

          ”Hummm.” Jawab Dara sambil mengangguk.

          ”Yang penting sekarang, akak nak kau duduk dengan tenang. Jangan nak menggelupur sangat macam cacing kepanasan. Rimas akak tengok tau tak!. Kesian nenek, kene himpit dengan badan kau yang besar gedempol tu” Omel Dara sambil menjuihkan bibirnya membuatkan Dira tersedar akan kelakuannya tadi yang kelihatan agak kurang sopan. Ternyata nenek Munah, nenek mereka telah terhimpit kerana tubuh Dira yang mencondong dengan sedikit menyerong ke depan. Mereka duduk bertiga di belakang dengan Atuk Irul membuatkan nenek Munah terpaksa merelakan dirinya diapit oleh suami dan cucunya. Ditambah pula dengan Dira yang ternyata tidak boleh duduk diam di saat-saat sempit begini membuatkan Nek Munah tidak mampu untuk terus menahan sabarnya demi sang cucu yang kekampungan.

       ”Ma…maaf nek.” Ucap Dira sambil cuba memperbaiki posisi duduknya. Baginya, adalah lebih baik jika saat ini dia hanya merenung kembali lampu yang ada di sekitar jalan raya itu.

Hujan ternyata tidak begitu lebat. Titisan air yang menempel di tingkap kereta ternyata memberikan kesan yang lebih menarik. Sepertinya ada lampu tambahan yang dipantulkan oleh titisan hujan. Melihat kota yang luas membuatkan Dira kembali teringatkan kampung halamannya yang permai. Desanya itu memang tenang, tidak bising seperti di bandar. Baru beberapa jam saja dia tiba di bandar, telinganya ini sudah lelah mendengar suara hiruk-pikuk yang datang entah dari mana.

Di bandar itu memang indah, banyak cahaya yang terang benderang yang berasal tidak hanya dari langit bahkan dari bangunan-bangunan pencakar langit yang bertingkat-tingkat dan mewah. Terlalu banyak menghiasi ruang bandar ini. Tidak seperti di desa yang selain dari lampu di setiap rumah, cahaya yang ada itu datangnya dari pantulan bulan dan bintang yang menghiasi dada langit malam. Mungkin disebabkan itulah kakaknya, Dara lebih selesa tinggal di bandar berbanding di kampung. Suasana di sini kelihatan begitu meriah, sama seperti orangnya.

KLIK LINK DI BAWAH :

https://bukubook.com/wp-content/uploads/2021/04/DIA-UNTUK-SATU-HATI-1.pdf