Aku adalah Bujang Senang yang berketurunan darah pahlawan. Sang wira yang tidak pernah menghampar gebar gelisah gentar gugup. Aku seorang perwira yang menyobek sejuta perasaan duka yang terlebur.

Aku anak jati kelahiran Sungai Kuala Saribas yang pernah menyusun mata keris menjadi gelegar titi menuju medan penentuan nasib. Malah akulah bekas anak murid Kiyai Maulana Sheikh Kadir yang pernah berguru di pesantren mulia di Tanah Jawa. Akulah segala-galanya yang terkutip di seribu pulau. Akulah debur gusar lalu walaupun tanahku dicungkih.

“Ingat pesananku Bujang. Berwaspadalah kerana kau akan berhadapan dengan pelbagai cabaran di sana nanti. Kalau berhadapan dengan masalah atau kerumitan segeralah kau anakku meminta pertolongan dari Allah S.W.T. kerana kita tidak tahu apakah di sebalik kemungkaran itu.” Nasihat Kiyai Maulana Sheikh Kadir pada Bujang Senang.

Mungkin engkau belum kenal siapa aku wahai Alun. Ketahuilah olehmu, akulah Bujang Senang yang membunuh konco-konco Benak. Dan hari ini jugak aku akan menamatkan riwayatmu wahai Alun. Engkau tidak akan digeruni lagi di Batang Sadong ini, insya-Allah. Dan itulah janjiku padamu wahai manusia iblis terlaknat!.” Tegas Bujang Senang pedas.