Matilah engkau mati

Kau akan lahir berkali-kali…….

Sang penyair pernah menulis sebait puisi ini di atas secarik kertas lusuh. Saat itu dia masih berambut panjang menggapai bahu dan bersuara garau kerana banyak berintonasi di hadapan umum. Dia menyelitkan ke dalam sebuah buku tulis bersampul hitam dan mengatakan itulah hadiah darinya untuk ulang tahunku yang ke-25.

Sambil mengepulkan asap rokoknya yang menggelembung ke udara, dia mengatakan aku harus selalu bangkit meskipun aku mati.

Tetapi hari ini, aku akan mati. Aku tak tahu apakah aku boleh bangkit setelah hampir tiga bulan dikurung dalam gelap. Mereka membawaku ke sebuah tempat. Hitam, kelam. Selama tiga bulan mataku dibalut kain hitam yang hanya sesekali dibuka saat aku berurusan dengan masalah kencing dan berak. Aku ingat perbualanku dengan sang penyair. Dia berkata bahawa dia tidak takut pada gelap kerana dalam hidup, ada terang dan ada gelap. Ada perempuan dan ada lelaki.

            “Gelap adalah sebahagian dari alam.” Kata sang penyair.

Tetapi jangan sampai kita mencapai titik kelam kerana kelam adalah tanda bahawa kita sudah menyerah. Kelam adalah sebuah kepahitan, satu titik ketika kita merasa hidup sudah tidak mampu untuk dipertahankan lagi.

Aku tak tahu apakah saat ini aku sedang mengalami kegelapan atau kekelaman. Mataku ditutup, tanganku diikat. Apakah ini gelap yang kelak menjadi pagi yang lama-kelamaan akan mengurai cahaya matahari pagi atau gelap seperti lembah yang tidak menjanjikan dasar?.